Hari ini genap tujuh hari umat Islam berpuasa dan menjalani ibadah pada bulan Ramadan. Sesungguhnya Ramadan merupakan bulan yang dinanti-nantikan kedatangannya oleh umat Islam seantero dunia. Inilah peluang keemasan mereka menggandakan amalan bukan sahaja dalam konteks berpuasa malah pelbagai amal ibadah lain yang dijanjikan Allah ganjaran berlipat ganda.
Bagi penulis, Ramadan kali ini cukup istimewa kerana berpeluang menjalani ibadah puasa di Tanah Suci Mekah al-Mukarramah. Selepas kali terakhir mengunjungi Mekah kira-kira tujuh tahun lalu iaitu ketika melaksankan ibadah haji, pelbagai perubahan drastik dari segi pembangunan inftrastruktur dapat disaksikan kini.
Sebenarnya kedatangan penulis ke Tanah Suci tahun ini adalah sebagai memenuhi undangan untuk turut serta dalam Persidangan Antarabangsa Mengenai Kewangan dan Perbankan Islam yang turut disertai oleh para ulama dan pakar-pakar kewangan Islam seluruh dunia.
Ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh badan kewangan Islam terkemuka iaitu Syarikat Dallah Al-Barakah yang juga merupakan konsortium bertanggungjawab dan diamanahkan oleh kerajaan Saudi untuk mengurus dan menyelenggara Masjidil Haram.
Dalam penulisan kali ini penulis ingin menelusuri penghayatan Ramadan di Mekah. Suasana berpuasa dan beribadah Ramadan di Mekah tentunya ada kelainan dengan suasana umat Islam menjalani ibadah Ramadan di Malaysia.
Kelainan yang penulis maksudkan bukanlah berkisar mengenai prinsip asas ibadah puasa yang tentunya tidak ada perbezaan ketara. Namun apa yang menarik untuk penulis kongsikan dengan pembaca ialah berkenaan suasana, amalan dan budaya sambutan Ramadan di Mekah yang begitu ketara perbezaannya dengan Malaysia.
Apa yang pasti, di sini tidak ada bazar Ramadan dengan kepelbagaian juadah berbuka sebagaimana tradisi masyarakat Islam di Malaysia. Tidak ada iklan-iklan mahupun lagu-lagu hari raya yang berkumandangan sejak hari pertama puasa di gedung-gedung membeli-belah dan pasar raya tempatan.
Sebaliknya suasana Ramadan di sini bagaikan ‘pesta ibadah’ yang disuburi dengan pelbagai aktiviti ibadah sama ada yang wajib mahupun sunat. Umat Islam di sini bagaikan menyambut perayaan besar dengan masing-masing berlumba-lumba melakukan kebajikan dalam usaha menghidupkan Ramadan melalui pelbagai aktiviti ibadah terutamanya di masjid.
Kemuliaan Ramadan
Bagi menyemarakkan lagi pesta ibadah ini pelbagai promosi diadakan yang menjurus kepada galakan kepada umat Islam menggandakan ibadah sepanjang bulan Ramadan. Jalan-jalan raya umpamanya dipenuhi papan-papan tanda bercahaya warna-warni yang tertera perkataan ‘Ramadan Karim’ untuk mengingatkan umat akan kemuliaan Ramadan yang tidak wajar dipersiakan.
Suasana di Masjidil Haram ketika ini juga bagaikan musim Haji yang menyaksikan lautan manusia memenuhi setiap ruangan masjid hingga ke luar. Jumlah manusia juga dikatakan lebih ramai apabila menjelangnya sepuluh malam terakhir.
Suasana Ramadan yang paling menarik perhatian ialah waktu berbuka puasa. Sudah menjadi fenomena lumrah pada bulan Ramadan terutamanya di Masjidil Haram, kita menyaksikan umat bagaikan berebut untuk bersedekah dan berkongsi juadah makanan sesama Islam.
Untuk memudahkan urusan pengagihan pasukan khas dengan vest yang tertera perkataan ‘Muassasah Khairiyah’ dilihat begitu sibuk menyelenggara penggagihan makanan dan minuman yang disedekahkan oleh orang ramai. Pendek kata bulan Ramadan bagaikan memberi jaminan bahawa tidak ada yang kelaparan ketika berbuka.
Yang lebih istimewa bagi penulis ialah dapat melihat jutaan umat Islam tanpa mengira darjat, keturunan, bangsa mahupun negara dapat duduk bersimpuh bersama menikmati juadah berbuka atas semangat persaudaraan Islam yang hakiki. Terdetik di hati penulis, alangkah baiknya jika suasana sebegini dapat diterjemahkan secara berterusan dalam kehidupan umat Islam secara keseluruhannya.
Bukan itu sahaja budaya mendoakan saudara seIslam apabila bertemu tanpa mengira kenalan mahupun tidak adalah fenomena biasa di Tanah Haram ini. Masing-masing apabila berjumpa atau berselisih akan mengungkapkan kalimah ‘Taqabalallahu minna wa minkum’ yang bermaksud ‘semoga Allah menerima amalan kami dan kalian’.
Amalan berdoa untuk saudara seIslam secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi persaudaraan sekaligus menghilangkan sifat pentingkan diri sendiri. Ini juga merupakan sunnah Rasulullah SAW yang sentiasa menganjurkan umat Islam saling mendoakan kesejahteraan dan keberkatan di antara satu sama lain.
Amalan ini jika diteruskan mampu membenam perasaan angkuh dan sombong yang sering menguasai diri. Memang tanpa disedari kita seringkali terdorong kepada sikap yang bertanggapan bahawa syurga hanya untuk diri kita sahaja. Apa yang berlaku kepada orang lain tidak dihiraukan kerana apa yang penting diri sendiri kena selamat terlebih dahulu.
Budaya individualistik atau pentingkan diri sendiri sebegini sebenarnya kian mengakar dalam diri umat Islam. Natijahnya kita menyaksikan bagaimana umat bagaikan sudah hilang nilai kasih sayang hingga sanggup mengenepikan persaudaraan sesama Islam.
Lihat sahajalah senario umat Islam di negara kita khususnya. Sejak kebelakangan ini terlalu banyak berita yang dipaparkan di media massa mengenai perbalahan sesama umat Islam hanya kerana mengejar habuan duniawi. Demi kuasa umpamanya umat sanggup melakukan apa sahaja hatta ke peringkat sanggup melakukan kemudaratan seperti insiden penyimbahan asid, pembunuhan dan sebagainya. Lebih menyedihkan ia berlaku pada bulan Ramadan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini.
Semua ini bertitik-tolak daripada kegagalan umat menghayati ibadah Ramadan yang bukan sahaja mempunyai nilai perhambaan seutuhnya kepada Allah tetapi juga bermatlamat memperteguhkan kekuatan persaudaraan Islam yang menjadi teras kekuatan umat Islam.
Justeru sudah tiba masanya umat Islam khususnya di Malaysia kembali menghayati amalan beribadah pada bulan Ramadan dengan kefahaman yang lebih utuh. Budaya Ramadan yang baik sebagaimana yang diamalkan di Mekah harus disemarakkan di dalam diri setiap umat Islam. Ini termasuklah budaya yang menjurus umat kepada semangat persaudaraan Islam yang hakiki.
Sesungguhnya ibadah yang dilakukan pada bulan Ramadan hanya akan lebih bermakna sekiranya umat benar-benar memahami falsafah dan nilai-nilai yang terkandung di sebalik amalan berpuasa Ramadan. Moga-moga Allah memperteguhkan keimanan dan ketakwaan kita kepada-Nya dalam menyemarakkan pesta ibadah pada bulan Ramadan yang penuh barakah ini.
Oleh DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Sumber: Mingguan Malaysia 7 September 2008 / 7 Ramadan 1429
RM5.00 Setiap Kali Rakan Anda Join
Daftar percuma di sini













0 Komen:
Catat Ulasan