Isu pelajar wanita lebih ramai menguasai institusi pengajian tinggi (IPT) kembali dibangkitkan. Hakikatnya, isu itu bukanlah baru. Saban tahun, setiap kali tiba sesi kemasukan pelajar baru ke IPT, isu ketidakseimbangan jantina menjadi antara topik utama yang dibincangkan atau diutarakan. Ketika itu mulalah kedengaran beberapa pihak tertentu yang melahirkan kebimbangan masing-masing.
Tidak kurang juga yang menggesa kerajaan mengambil langkah segera bagi mengatasi ketidakseimbangan itu. Ada yang menyuarakan pandangan, antaranya ketidakseimbangan itu jika tidak ditangani segera akan mendatangkan kesan tidak baik terhadap sosiobudaya serta memberi impak terhadap kualiti sosial masyarakat di negara ini. Justeru, isu itu tidak boleh dipandang remeh.
Hujah lain pula menyatakan, senario itu kelak akan menyebabkan pelajar wanita lebih berpotensi mendapat kerjaya lebih baik dengan gaji lumayan berbanding lelaki kerana mereka mempunyai kelulusan lebih tinggi. Malah, kesan atau tanda-tanda itu dikatakan sudah pun wujud pada masa kini. Dalam sektor awam, misalnya berdasarkan statistik sehingga tahun lalu pekerja wanita sudah menguasai kategori Kumpulan Pengurusan dan Profesional iaitu 52 peratus berbanding lelaki yang semakin mengecil kepada 48 peratus.
Bagaimanapun, ada juga berpandangan jika ketidakseimbangan itu tidak diatasi akan timbul pula masalah dalam institusi keluarga pada masa depan kerana ia mendorong lebih ramai suami mengambil alih tugas isteri sebagai suri rumah. Selain itu, fenomena pelajar wanita menguasai IPT turut dikhuatiri akan mewujudkan makin ramai wanita memilih enggan berkahwin.
Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Puan Sri Dr Rohaty Mohd Majzub, berkata sebagai individu yang terbabit dalam bidang pendidikan kepelbagaian, senario kewujudan ketidakseimbangan jantina di IPT di negara ini dengan nisbah 65 peratus wanita dan 35 peratus lelaki dilihat isu perlu ditangani serta dipandang serius.
Katanya, jika dibiarkan berterusan ia sememangnya memberikan implikasi sosial dari segi status lelaki dan wanita serta perolehan jawatan dalam kerjaya dan sebagainya.
Beliau berkata, apa yang perlu dihalusi ialah dominasi kemasukan pelajar wanita ke IPT bukan saja dilihat berkaitan ketidakseimbangan gender semata-mata, tetapi ada beberapa perkara lain wajar diberikan perhatian kerana ia akan memberikan impak termasuk dari segi sosial, ekonomi, keluarga dan sebagainya.
“Ketidakseimbangan jantina di IPT juga berlaku di luar negara dan berdasarkan pengetahuan saya, perkara itu turut merisaukan mereka sehingga beberapa langkah tertentu diambil bagi mengatasi jurang perbezaan itu. Antaranya ialah membetulkan kaedah mengajar mengikut cara pembelajaran pelajar lelaki, mengkaji dan mengambil kira minat lelaki seta mengadakan program intervensi. Jadi, kita di negara ini juga perlu melakukan sesuatu untuk mengatasi hal itu dan jangan lihat secara mutlak saja,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Rohaty berkata, seandainya kuota kemasukan ke IPT di negara itu ditetapkan dengan nisbah 50 - 50 untuk lelaki dan wanita serta tidak berdasarkan pemilihan secara prinsip meritokrasi yang diamalkan pada masa kini, ia bukan saja menjadikan kuota itu seimbang tetapi boleh memberikan beberapa manfaat.
“Jika dari sudut sosial, keseimbangan itu memberikan pelajar wanita ada pilihan di universiti untuk mencari teman hidup pada masa hadapan. Ini kerana universiti adalah tempat untuk menjalinkan hubungan sosial dan tempat ‘berpotensi’ yang membolehkan pelajar lelaki serta wanita mencari pasangan hidup mereka.
“Ketika di universiti mereka boleh berkenalan dan berpeluang mengenali pasangan lebih-lebih lagi, jika mengambil kira tempoh pengajian lama dan masa yang banyak dihabiskan individu itu ketika belajar di IPT. Jika pelajar lelaki kurang dan wanita lebih tentu tentu keadaan itu tidak boleh dicapai,” katanya.
Dr Rohaty turut berpendapat, ketidakseimbangan itu perlu ditangani kerana dalam bidang kerjaya tertentu negara masih memerlukan lebih ramai khidmat tenaga kerja lelaki berbanding wanita terutama yang berkaitan keupayaan fizikal dan keselamatan. Malah, pada masa kini walaupun wanita dikatakan lebih cemerlang dalam pendidikan, kebanyakan majikan lebih senang mengambil pekerja lelaki.
Katanya, perkara itu memang tidak dapat dinafikan berlaku kerana sehingga hari ini budaya siling kaca masih lagi wujud dan menjadi amalan dalam masyarakat di negara ini. Untuk itulah, mahu atau tidak usaha untuk menseimbangkan kemasukan pelajar lelaki dan wanita ke IPT perlu dilakukan.
Implikasi longgarkan syarat kemasukan
DITANYA pandangan yang menyatakan jika syarat dilonggarkan maka ia bakal menghasilkan graduan atau tenaga kerja yang tidak boleh membantu pembangunan negara pada masa depan, Rohaty berkata, kualiti graduan mungkin tercabar kerana syarat lebih minimum, tetapi pembangunan negara lebih besar dan abstrak.
Justeru, beliau mencadangkan mungkin dengan memberikan latihan profesional lebih jitu ia boleh mengatasi kemahiran pelajar lelaki yang kurang syarat.
“Untuk mengejar ilmu dari satu sudut, sememangnya lebih baik berasaskan persaingan secara sihat berbanding memberi banyak kelonggaran pada sebelah pihak yang dilihat tidak berupaya untuk bersaing. Tetapi kita harus ingat ilmu boleh diakses jika ada program intervensi yang konkrit dan sesuai. Lagipun, tidak susah dalam zaman ICT ini yang penting kita tingkatkan tahap kemahiran berfikir.
“Apa yang saya lihat, sekiranya kelonggaran diberikan kepada pelajar lelaki untuk memasuki IPT, antara kebaikannya pada masa depan ialah lebih ramai lelaki masuk universiti dan pegang jawatan tertentu, sekali gus kurang lelaki terpinggir daripada arus perdana. Kelemahannya pula kita tidak mengamalkan ekuiti dan peluang pendidikan serupa (tidak adil),” katanya turut tidak menafikan wanita menurut kajian memang lebih prihatin terhadap pembelajaran dan lebih bersungguh serta serius.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kemerosotan prestasi akademik pelajar lelaki yang dikenal pasti berlarutan sejak 20 tahun lalu memerlukan pendekatan khusus bagi mengelakkan wujud ketidakseimbangan jantina di IPT yang berterusan.
Rohaty turut menyarankan, universiti perlu mengkaji secara serius efikasi kendiri lelaki, persepsi mereka mengenai masa hadapan dan faktor yang menyebabkan fenomena berkenan berlaku. Selain itu universiti patut bekerjasama dengan sekolah untuk menyelesaikan hal itu pada peringkat lebih rendah, manakala kajian dari aspek makro (dasar) dan mikro (pengajaran dan pembelajaran) juga perlu dibuat. Malah, lebih baik membuat kajian mengesan (tracer) dan meramal masa depan (future scenario) untuk menangani isu itu.
“Kemasukan ramai wanita di IPT ada kaitan dengan sistem pendidikan di negara ini, khususnya iklim proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Pada asasnya, lelaki kurang senang dengan pengajaran yang tidak menggunakan kecerdasan body kinestetik (pergerakan) atau kecerdasan spatial, sebaliknya mereka lebih suka projek yang mencabar dan tidak duduk diam dalam bilik darjah begitu lama. Jadi, untuk perubahan kita perlu ubahsuai kurikulum supaya sesuai dengan cara dan pendekatan belajar pelajar lelaki.
“Selain itu, kajian awal mendapati sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan memberi kelebihan kepada pelajar perempuan berbanding lelaki. Sifat pelajar perempuan lebih tekun, teliti dan sensitif sesuai dengan proses pembelajaran yang menjurus ke arah kecemerlangan dalam peperiksaan. Faktor ini membantu mereka terus cemerlang dalam peperiksaan. Kesan sifat tidak teliti pelajar lelaki pula menyebabkan mereka sukar mencapai keputusan cemerlang,” katanya.
Jumlah wanita lebih ramai di IPT bukan masalah
TAHUN ini sekali lagi menyaksikan pelajar wanita terus mendominasi kemasukan institut pengajian tinggi (IPT). Kira-kira 65 peratus atau 26,200 daripada 40,366 calon yang ditawarkan mengikuti program ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi pengajian 2009/2010 bermula bulan ini adalah wanita.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata masalah jumlah calon pelajar wanita jauh mengatasi lelaki ke IPTA tidak dapat dielakkan kerana pemilihan dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi.
Katanya, walaupun perbezaan gender ini sering ditimbulkan setiap tahun tiada cara untuk mengatasinya. Ini berikutan, dasar pengambilan pelajar berasaskan prinsip meritokrasi iaitu 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum bagi menentukan nilai merit seseorang calon.
Bagaimanapun, ketidakseimbangan jantina di IPT bukan saja berlaku di negara ini, tetapi juga di luar negara. Satu laporan oleh Institut Dasar Pendidikan Tinggi di London yang disiarkan baru-baru ini, menyatakan pada masa ini hampir separuh remaja perempuan iaitu 49.2 peratus memasuki universiti di negara itu berbanding 37.8 peratus pelajar lelaki berusia 17 hingga 30 tahun.
Penyelidikan itu turut menjangkakan, bilangan pelajar wanita akan mencapai 70 peratus di universiti di seluruh United Kingdom menjelang 2025, sekali gus mengatasi bilangan pelajar lelaki.
Pada 2008, lebih 47,000 wanita diterima mengikuti kursus ijazah berbanding 28,000 pada 2005. Jurang jantina berkenaan dilihat semakin besar berbanding 1970-an. Tetapi pada era itu, pelajar lelaki lebih ramai di institusi pengajian tinggi. Kini, jurang jantina di menara gading kini lebih besar berbanding 30 tahun lalu dan wanita terus mendominasi.
Laporan itu turut menyatakan, walaupun pelajar wanita ramai di IPT, secara umumnya masih ramai yang berpendapat mereka termasuk dalam kumpulan yang lemah berbanding lelaki. Pandangan itu dikatakan, mungkin masih betul dalam masyarakat secara keseluruhannya, tetapi ia tidak lagi boleh dipandang begitu berhubung pendidikan tinggi.
Sementara itu, Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISIM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata dengan peluang pendidikan sama rata yang diberikan kepada wanita dan lelaki pada masa kini senario ketidakseimbangan jantina di IPT dengan didominasi oleh wanita, dilihat akan menjadi menjadi proses perkembangan berterusan. Ini kerana sememangnya sudah menjadi fitrah wanita yang mempunyai kelebihan daripada lelaki dalam menimba ilmu pengetahuan, sekali gus melayakkannya masuk ke IPT.
Mohd Fadzil berkata, adalah normal dan tidak perlu dirisaukan apabila wujud ketidakseimbangan jantina di IPT sekalipun peratusan perbandingannya mencapai sehingga 70 peratus. Berdasarkan aspek psikologikal pelajar wanita sememangnya lebih pintar daripada lelaki. Malah, sistem biologi kedua-dua golongan pelajar itu juga sudah pun membuktikan perempuan lebih matang dua tahun ke depan berbanding lelaki.
“Wanita memang hebat oleh itu jangan persoalkan kemasukan tinggi golongan itu di IPT. Wanita juga adalah individu yang mempunyai beberapa kelebihan berbanding lelaki seperti boleh menyimpan maklumat yang banyak di dalam otak, mudah faham, rajin berusaha, lebih fokus dalam sesuatu perkara dan sebagainya. Ini secara tidak langsung membuatkan pelajar wanita itu lebih cemerlang dalam pelajaran. Ini dibantu lagi dengan usaha lebih atau kerja keras yang dibuat oleh pelajar wanita itu bagi mencapai kejayaan,” katanya.
Mohd Fadzil berkata, isu ketidakseimbangan jantina di IPT tidak seharusnya diperbesar-besarkan dan masyarakat perlu ubah persepsi bahawa tidak semestinya jumlah kemasukan pelajar perlu seimbang antara lelaki dan wanita. Sebaliknya, lebih baik sekiranya semua pihak memahami fitrah antara lelaki serta wanita supaya dapat menerima senario itu dengan baik dan tidak hanya mengukur pencapaian kecemerlangan jantina berdasarkan kemasukan pada peringkat di menara gading semata-mata.
Beliau turut berpendapat, kewujudan ketidakseimbangan itu tidak akan menimbulkan masalah dalam pembangunan generasi masa depan. Sebaliknya, jika terus ditimbulkan dan ingin diseimbangkan tidak mustahil kelemahan atau kekurangan pelajar wanita akan terus dicari, demi memberikan laluan kepada pelajar lelaki memasuki IPT.
Katanya, cadangan menetapkan kuota jantina atau memberikan kelonggaran syarat kepada pelajar lelaki supaya golongan itu lebih ramai mencecah masuk ke IPT juga tidak sewajarnya dibuat kerana ia seolah-olah menafikan hak pelajar wanita yang lebih layak. Lebih dibimbangi dengan melonggarkan syarat kemasukan pelajar lelaki ia boleh memberikan kesan psikologi hebat kepada pelajar perempuan yang ada kelayakan dan lebih berhak mendapat tempat di IPT, tetapi terlepas peluang memasukinya.
“Kita tidak boleh terlepas pandang kesan psikologi yang dihadapi pelajar wanita jika hak mereka dinafikan. Rasa kecewa dan perasaan tertekan boleh menghambat pelajar wanita terbabit apatah lagi selepas dia berusaha serta bekerja keras untuk memastikannya cemerlang dalam pelajaran.
“Selain itu kita harus mengakui bahawa melonggarkan syarat kepada pelajar lelaki secara tidak langsung akan mewujudkan elemen ketidakadilan. Kesan psikologinya ia boleh memberikan kesan negatif kepada pelajar itu seperti malas berusaha dan mengambil sikap lewa serta membentuk sikap buruk seperti suka ponteng, tidak buat tugasan dan lain-lain lagi. Malah, tidak mustahil kesan negatif itu berterusan ketika belajar di IPT dan juga apabila bekerja sehingga boleh menjejaskan produktiviti.” katanya turut berpendapat mengambil pelajar yang tidak layak memberikan masalah dan tekanan kepada pensyarah.
Mohd Fadzil berkata, menara gading ialah tempat yang sangat tinggi untuk menimba ilmu dan mereka yang berjaya memasukinya sudah tentulah yang benar-benar terpilih dan layak. Tetapi ia juga tidak bermakna, individu yang gagal menjejakkan kaki ke situ, gagal dalam kehidupannya. Bagi pelajar lelaki yang gagal misalnya, masih mempunyai ruang untuk meningkatkan kecemerlangan diri dengan memasuki mana-mana pusat atau kolej kemahiran dan teknikal yang mungkin lebih sesuai untuk mereka.
“Jika ada peluang kerja yang sesuai mungkin juga lebih baik pelajar lelaki itu mengambilnya. Ketika itu umurnya pun baru 20-an. Kemudian, pada satu tahap dan sudah lebih matang serta lebih bersedia, dia bolehlah meningkatkan diri dengan melanjutkan pelajaran. Untuk pelajar wanita situasi mungkin berbeza sedikit kerana selepas belajar tinggi dan berkahwin, ada yang mengambil keputusan menjadi suri rumah. Alangkah bertuahnya bagi anak-anak yang dididik oleh seorang ibu mempunyai ijazah dan sudah tentunya kita mengharap anak itu menjadi generasi boleh diharapkan pada masa depan,” katanya.
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Pelajar Wanita Kuasai IPT
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Carian Artikel
Terdapat ribuan artikel kesihatan, perkahwinan, tips rumahtangga, keibubapaan, keagamaan, kaunseling dll dalam simpanan. Sila buat carian artikel yang diingini.

Seni Pancutkan Isteri. Keterangan lanjut, sila klik sini.

Rahsia Doa Pengasih. Keterangan lanjut, sila klik sini.

Seni Melambatkan Pancutan. Keterangan lanjut, sila klik sini.

Rahsia Lulus Temuduga Kerja Kerajaan. Keterangan lanjut,sila klik sini.
Nak Berhenti Merokok? Ada caranya. Sila klik sini.












0 Komen:
Sila Komen Dengan Tinggalkan Nama